Antara contoh kajian menggunakan kaedah kuantitatif adalah seperti kajian tinjauan, kajian perbandingan sebab-akibat, kajian korelasi, kajian eksperimen, dan kajian kuasi-eksperimen. Reka bentuk kajian menggunakan kaedah kualitatif pula adalah seperti kajian etnografi, kajian phenomenology, kajian kes, kajian sejarah, dan kajian inkuiri naratif.
Kaedah kuantitatif ialah pendekatan deduktif berasaskan pengujian terhadap sesuatu andaian ataupun hipotesis. Data kajian yang diperoleh melalui kaedah kuantitatif bertujuan untuk menguji teori; melihat hubungan antara pembolehubah; menerangkan fenomena dari segi sebab-akibat; dan bertujuan untuk membuat ramalan. Perbezaannya dengan kaedah kualitatif ialah kajian menggunakan kaedah kualitatif merupakan pendekatan induktif di mana data yang dikumpul digunakan untuk memerihal sesuatu fenomena untuk tujuan memahaminya; meneroka sesuatu bidang yang belum ataupun kurang dikaji oleh penyelidik lain; memahami pandangan atau perspektif responden kajian terhadap sesuatu fenomena yang dikaji; dan memahami sesuatu fenomena sosial secara mendalam.
Kaedah pengumpulan data bagi kajian menggunakan kaedah kuantitatif adalah sangat berstruktur. Kaedah pengumpulan data kaedah kuantitatif adalah berbeza bagi kaedah kualitatif, iaitu separuh berstruktur ataupun tidak berstruktur. Perbezaan dari aspek instrumen kajian menggunakan kaedah kuantitatif ialah pengkaji menggunakan instrumen seperti soal selidik dan ujian diagnostik untuk mengumpulkan data. Manakala bagi kaedah kualitatif pula, pengkaji sendiri merupakan instrumen utama mengumpulkan data, iaitu pengkaji perlu berada dalam situasi yang dikaji, mendengar, dan memerhati sendiri fenomena yang ingin dikaji.
Bentuk data kajian yang diperoleh menggunakan kaedah kuantitatif ialah data berbentuk angka dan boleh diukur dengan tepat menggunakan analisis statistik seperti pengiraan min, median, mod, peratusan, sisihan piawai, skor-Z, skor-T, varian, dan sebagainya. Ini adalah berbeza dengan bentuk data bagi kaedah kualitatif, iaitu data berbentuk perkataan dan ayat, serta tidak dapat diukur seperti data berbentuk deskriptif, dokumen peribadi, catatan nota lapangan, gambar, pendapat perseorangan, dan analisis dokumen.
Walaupun kedua-dua kaedah kuantitatif dan kaedah kualititaf mempunyai perbezaan, tetapi juga mempunyai persamaan. Data kajian yang diperoleh oleh kedua-dua kaedah kuantitatif dan keadah kualitatif asalnya merupakan data kualitatif. Pengkaji yang menggunakan angka untuk membuat interpretasi dan tafsiran terhadap data kualititaf yang menjadikan data kajiannya berbentuk kuantitatif.