You are currently viewing Kelebihan Kaedah Hermeneutik dalam Penyelidikan

Kelebihan Kaedah Hermeneutik dalam Penyelidikan

Antara kelebihan kaedah Hermeneutik dalam suatu penyelidikan ialah kaedah ini boleh digunakan untuk membuat interpretasi buhan hanya terhad kepada satu jenis instrumen pengumpulan data seperti set soal selidik, tetapi turut boleh digunakan terhadap jenis instrumen lain. Kaedah Hermeutik ini boleh digunakan membuat interpretasi dari pelbagai sumber data berunsurkan teks yang dihasilkan  dalam bentuk lisan atau tulisan, seperti transkripsi temu bual, catatan nota lapangan, refleksi yang ditulis guru selepas sesi pengajaran dan pengajaran, mahupun lembaran kerja murid.

Antara kelebihan menggunakan kaedah Hermeneutik dalam suatu penyelidikan ialah pengkaji berupaya untuk memahami secara mendalam fakta dan kebenaran yang disampaikan melalui teks, ataupun dikenali sebagai proses untuk meleraikan apa yang terkandung dalam teks. Instrumen kajian bertujuan mengumpulkan data-data mentah daripada pihak responden seperti guru, ibu bapa, ataupun murid. Maklum balas responden seperti set soal selidik terbuka sudah semestinya mengandungi penjelasan dan fakta serta berkemungkinan juga mengandungi beberapa bahagian yang tidak dijelaskan dengan terperinci. Melalui analisis dan interpretasi melalui kaedah Hermeneutik, bahagian kekaburan maklumat ini dapat diatasi apabila pengkaji membaca teks responden berulang kali untuk mendapatkan pemahaman yang mendalam. Pengkaji berupaya untuk memahami makna yang tersirat dalam teks berdasarkan transkrip soal selidik responden yang merupakan penjelasan tersurat.

Seterusnya, kaedah Hermeneutik apabila dilaksanakan dengan interpretasi yang betul akan memberikan kelebihan dari segi kesahan dan kebolehpercayaan.Teks yang diperoleh daripada data mentah instrumen kajian dan bukannya direka atau ditulis oleh pengkaji mencerminkan kebolehpercayaan kaedah Hermeneutik ini. Transkrip soal selidik terbuka mengandungi teks asal responden dan teks berbentuk tulisan mengandungi makna tersurat, iaitu fakta dan kebenaran. Apabila pengkaji menggunakan kaedah Hermeneutik dan berupaya menjelaskan makna tersirat dalam metateks dan adalah selari dengan makna tersurat dalam teks, maka sesuatu metateks tersebut dikatakan mempunyai kesahan dan seterusnya meningkatkan kesahan kajian yang dilaksanakan.

Kelebihan kaedah Hermeneutik ini juga ialah mempunyai ciri-ciri keterbukaan dalam kaedah ini. Ciri-ciri keterbukaan membantu pengkaji untuk melihat sesuatu isu yang lampau bukan sahaja sebagai objek kajian, tetapi sebagai suatu sumber untuk mengesan makna yang relevan. Oleh kerana terdapatnya ciri-ciri keterbukaan melalui kaedah ini, sesuatu metateks yang ganjil tidak diketepikan sewenang-wenangnya tetapi pengkaji membaca dan meneliti metateks secara berulang kali, maka secara tidak langsung akan meningkatkan tahap kesahan dan kebolehpercayaan kaedah Hermeneutik dalam pelaksanaan sesuatu penyelidikan.