You are currently viewing Bagaimana Menilai Bab 5 dalam Penyelidikan?

Bagaimana Menilai Bab 5 dalam Penyelidikan?

Pertama sekali, bab dua dalam sesuatu penyelidikan memainkan peranan yang penting kerana penyelidik akan mengenal pasti kerelevanan teori yang dipelopori ahli falsafah untuk digunakan sebagai teori yang mendasari pelaksanaan kajian dan tinjauan literatur kajian yang relevan dengan tajuk dan masalah yang dikaji.

Oleh itu, dalam bab lima, penilaian boleh dilakukan apabila pengkaji membuat hubungkait antara hasil dapatan kajian dengan teori ahli falsafah dan tinjauan literatur berdasarkan kepada penulisan bab dua. Hal ini kerana, apabila sesuatu dapatan kajian disokong dengan teori ahli falsafah dan tinjauan literatur kajian-kajian lepas, maka perbincangan yang dilakukan dalam bab lima menunjukkan hujah perbincangan yang dikemukakan adalah bernas dan kuat. Secara tidak langsung, pembaca atau penilai dapat mengetahui sama objektif kajian tercapai ataupun tidak dan sejauh manakah hasil dapatan kajian memberikan impak atau implikasi.

Selain itu, penilaian bab lima dalam sesuatu penyelidikan boleh dilaksanakan dari aspek kesahan dan kebolehpercayaan hasil dapatan kajian. Hal ini kerana, semakin tinggi tahap kesahan dan kebolehpercayaan instrumen, maka semakin jitu data yang diperoleh. Untuk menilai sama ada hasil dapatan kajian mempunyai kesahan dan kebolehpercayaan yang tinggi ataupun rendah, pembaca atau penilai boleh merujuk kepada penulisan bab tiga mengenai instrumen kajian. Instrumen kajian merupakan kaedah pengumpulan data.

Sekiranya pengkaji hanya menggunakan instrumen soal selidik, maka data yang diperoleh hanya melibatkan perspektif subjektif responden itu sendiri dan mempunyai kesahan dan kebolehpercayaan yang responden kerana hanya menggunakan satu instrument kajian. Apabila pengkaji menggunakan dua atau lebih instrumen kajian, seperti soal selidik, analisis kandungan, dan pemerhatian, maka kaedah triangulasi data dapat dilaksanakan antara hasil dapatan ketiga-tiga instrumen kajian tersebut. Kaedah triangulasi yang dilaksanakan akan meningkatkan kesahan dan kebolehpercayaan dapatan kajian sesuatu penyelidikan sama ada data berbentuk kuantitatif ataupun data berbentuk kualitatif.

Akhir sekali, berdasarkan dapatan kajian yang diperoleh, cadangan dan implikasi kajian kepada pihak yang berkaitan mesti dinyatakan dengan justifikasi yang jelas. Sebagai contoh, signifikan kajian atau impak positif kajian kepada amalan pendidikan, perkembangan pendidikan, dasar pendidikan dan pemegang taruh. Pengkaji juga boleh nyatakan juga kekangan melaksanakan kajian baru pada masa akan datang. Penilaian terhadap cadangan dan implikasi kajian perlulah merangkumi rancangan jangka pendek, rancangan jangka panjang dan pelan tindakan. Pengkaji perlu menilai tindakan yang diambil terhadap permasalahan atau kes yang dikaji secara kritis.

Penilaian terhadap cadangan dan implikasi kajian perlulah merangkumi rancangan jangka pendek, rancangan jangka panjang dan pelan tindakan. Penilaian rancangan jangka pendek boleh merujuk kepada pengkaji mencadangkan akan membuat tindakan susulan setelah pelaksanaan kajian. Pengkaji kemudiannya boleh mencadangkan perancangan kasar pelan tindakan bagi tindakan susulan tersebut. Manakala, penilaian rancangan jangka panjang boleh merujuk kepada pengkaji mencadangkan untuk membuat kajian lanjutan pada masa akan datang. Perancangan pelan tindakan adalah seperti pengkaji mencadangkan untuk membuat penambahbaikan sekiranya ingin melakukan kajian yang sama.