Penyelidikan merupakan proses yang teratur bagi mendapatkan pengetahuan baharu. Terdapat pelbagai langkah atau proses yang perlu dilalui dalam melaksanakan sebuah penyelidikan. Berikut merupakan proses penyelidikan yang akan saya ikuti sebagai seorang penyelidik.
Langkah pertama dalam proses penyelidikan ialah mengenal pasti masalah atau isu yang hendak dikaji. Pernyataan masalah merupakan isu atau masalah yang ingin dikaji dalam penyelidikan dan kebiasaanya penyelidik akan menjelaskan kepentingan, rasional dan signifikan melaksanakan sesuatu penyelidikan tersebut. Masalah dan isu yang hendak dikaji sama ada merupakan masalah yang sering dihadapi oleh para murid atau guru di sekolah. Saya sebagai penyelidik perlu mengenal pasti tajuk dan bidang penyelidikan yang akan dikaji, iaitu bidang penyelidikan ialah mata pelajaran Matematik dan tajuknya berkenaan dengan masalah pembentukan miskonsepsi melibatkan topik Pecahan.
Langkah seterusnya dalam proses penyelidikan ialah membentuk soalan kajian. Soalan kajian merupakan soalan atau pernyataan yang akan dijawab dalam sesuatu penyelidikan. Setelah memikirkan tajuk dan bidang yang akan saya kaji, saya perlu meninjau sejauh manakah tajuk tersebut boleh diselidik dengan memperincikan permasalahan penyelidikan kepada beberapa soalan kajian. Sebagai contoh, apakah faktor-faktor yang membawa kepada permasalahan tersebut dan bagaimanakah cara-cara penyelesaian untuk mengatasi masalah yang ingin diselidiki.
Setelah menetapkan soalan kajian, langkah seterusnya ialah menetapkan objektif kajian. Objektif kajian merupakan pernyataan tujuan yang spesifik berkenaan dengan penyelidikan yang hendak dijalankan oleh seseorang penyelidik berdasarkan masalah-masalah yang telah dikenal pasti. Soalan kajian yang telah dibentukkan akan diterjemahkan kepada objektif kajian yang spesifik.
Setelah menetapkan soalan dan objektif kajian, langkah seterusnya dalam proses penyelidikan ialah membuat rujukan bahan literatur, ataupun dikenali sebagai sorotan literatur. Sorotan literatur memainkan peranan yang penting dalam proses penyelidikan kerana penulisan sorotan literatur menunjukkan bahawa kajian yang dilaksanakan mempunyai kefahaman mendalam tentang sesuatu bidang pengetahuan. Dalam proses ini, penyelidik perlu mengkaji hasil karya yang pernah dilakukan oleh penyelidik lain supaya penyelidik mengetahui dengan jelas latar belakang sesuatu masalah dan berupaya mengenal pasti sejauh manakah sesuatu bidang masalah yang wujud telah dikaji. Sumber sorotan literatur mestilah diperoleh daripada sumber yang sahih dan relevan dengan topik dan kajian yang dikaji, sama ada diperoleh dari sumber buku ilmiah, surat khabar, artikel jurnal, tesis, disertasi, mahupun kertas persidangan. Selain membuat tinjauan literatur, penyelidik perlu mengenal pasti teori-teori yang akan mendasari pelaksanaan penyelidikan.
Langkah seterusnya dalam proses penyelidikan ialah menentukan metodologi kajian. Metodologi kajian merupakan cara, kaedah dan pendekatan yang akan digunakan untuk mereka bentuk, mengumpul dan menganalisis data bagi mencapai objektif utama kajian yang telah ditetapkan. Dalam langkah ini, penyelidik perlu menentukan reka bentuk kajian supaya bersesuaian dengan tujuan utama pelaksanaan kajian. Kajian boleh dijalankan sama ada dalam bentuk kuantitatif, kualitatif ataupun menggabungkan kedua-dua kaedah penyelidikan tersebut, iaitu mixed-method.
Penyelidik kemudiannya perlu menetapkan teknik persampelan yang akan digunakan dalam pemilihan responden kajian sama ada persampelan kebarangkalian (secara rawak) ataupun persampelan bukan kebarangkalian (secara tak rawak). Reka bentuk kajian saya ialah kajian kualitatif yang menggunakan persampelan bukan kebarangkalan, iaitu teknik persampelan bertujuan, iaitu hanya guru yang mengajar mata pelajaran Matematik dari dua buah sekolah rendah dipilih sebagai responden kajian.
Setelah menetapkan reka bentuk kajian, persampelan dan lokasi kajian, penyelidik perlu menghasilkan instrumen kajian yang bersesuaian dengan fokus penyelidikan. Instrumen kajian merupakan alat yang digunakan untuk mengumpulkan maklumat daripada responden bagi menjawab soalan kajian yang ingin dikaji dan mencapai objektif kajian yang ditetapkan. Instrumen pengumpulan data yang telah saya gunakan ialah temu bual. Dalam proses pengumpulan data, penyelidik juga merupakan instrumen utama dalam memperoleh data. Hal ini kerana, penyelidik berada dalam situasi yang dikaji, mendengar dan memerhati sendiri fenomena yang dikaji. Dalam konteks lain, saya sebagai penyelidik berperanan sebagai orang dalaman (insider) untuk menambah baik amalan profesionalisme kendiri sebagai seorang guru Matematik dalam mengatasi masalah pembentukan miskonsepsi melibatkan topik Pecahan berdasarkan maklum balas daripada responden. Sebagai orang luaran (outsider), saya berperanan untuk mengumpul data melalui instrumen temu bual daripada responden mengenai faktor yang menyumbang kepada pembentukan miskonsepsi dalam kalangan murid dan cara-cara penyelesaian yang berkesan.
Langkah seterusnya dalam proses penyelidikan ialah menetapkan kaedah menganalisis data. Kajian saya merupakan kajian kualitatif yang menggunakan Kaedah Hermeneutik. Maka, kaedah menganalisis data secara kualitatif difokuskan kepada prosedur pengkategorian, pengekodan, dan penyusunan data. Data kualitatif yang dikumpulkan daripada responden kajian melalui instrumen temu bual perlu ditranskripsikan ke dalam teks data (teks asal). Seseorang penyelidik perlu membaca teks asal responden berulang kali (proses ontopretasi) bagi mengelakkan kekaburan maklumat (ontoenigma) supaya mendapat suatu gambaran menyeluruh serta memahami maklumat yang ingin disampaikan oleh responden. Melalui proses ontopretasi, penyelidik berupaya untuk memahami struktur luaran (makna tersurat) dan struktur dalaman (makna tersirat dan kebenaran) teks asal responden. Setelah memperoleh kefahaman mendalam terhadap teks responden, penyelidik berupaya menghasilkan metateks yang mengandungi makna tersurat dan tersirat mengenai masalah yang dikaji.
Semasa proses ontopretasi, penyelidik boleh membuat petanda terhadap teks responden dengan menggunakan pelbagai warna bagi memudahkan proses pengkategorian dan pengekodan data. Proses pengekodan data bermula apabila penyelidik membahagi dan mengkategorikan teks data kepada segmen-segmen yang telah dikategorikan. Kod-kod tersebut kemudiannya disusun dan dikelompokkan bagi membentuk tema. Setelah proses penginterpretasian data, penyelidik akan memperoleh beberapa tema yang berlainan bagi membentuk idea utama dalam data yang dikumpulkan. Tema-tema yang diperoleh merupakan hasil dapatan kajian dan akan diterjemahkan dalam bentuk jadual bagi mengira kekerapan tema tersebut.
Dengan itu, langkah terakhir dalam proses penyelidikan ialah melaporkan hasil dapatan kajian dalam bentuk penulisan. Dalam konteks ini, dapatan kajian mestilah dibincangkan secara deskriptif dalam cara yang saling sokong-menyokong antara satu sama lain, iaitu disokong dengan sorotan literatur dan teori-teori yang berkaitan. Perbincangan dapatan kajian perlulah dikaitkan semula dengan matlamat utama pelaksanaan kajian bagi menjawab soalan dan objektif kajian yang telah ditetapkan, serta bagi menunjukkan signifikan pelaksanaan kajian dan implikasi kajian terhadap dunia pendidikan.