You are currently viewing Kepentingan Kerangka Konseptual dalam Penyelidikan

Kepentingan Kerangka Konseptual dalam Penyelidikan

Kepentingan pertama kerangka konseptual dalam sesuatu penyelidikan ialah penyelidik berupaya menentukan bagaimana prosedur empirikal dan teoritikal yang digunakan sebagai pendekatan untuk menjawab soalan kajian dan menyelesaikan permasalahan kajian yang dikemukakan. Hal ini kerana, kerangka konseptual merupakan model hipotesis, andaian atau gambaran kasar perkaitan antara elemen-elemen yang terkandung dalam sesuatu penyelidikan. Penyelidik perlu memperoleh kefahaman mendalam terhadap isu yang dikaji melalui sorotan literatur terlebih dahulu sebelum memilih dan memasukkan pembolehubah dalam kerangka konseptual.

Penyelidik boleh memasukkan pembolehubah baharu yang belum diuji secara empirikal dalam kerangka konseptual berdasarkan hipotesis dan andaian penyelidik. Berdasarkan kepada dapatan kajian yang diperoleh secara empirikal, penyelidik boleh menentukan sama ada terdapat perkaitan yang signifikan antara pembolehubah terhadap pembolehubah yang lain. Kerangka konseptual juga harus merangkumi teori yang mendasari pelaksanaan penyelidikan bagi menerangkan dan menyokong dapatan kajian yang diperoleh melalui proses empirikal.

Kepentingan kedua ialah kerangka konseptual berperanan sebagai blueprint, panduan dan hala tuju kepada penyelidik untuk melaksanakan sesebuah penyelidikan secara sistematik bagi mencapai objektif utama penyelidikan. Hal ini kerana, kerangka konseptual merupakan diagram atau rajah yang mengandungi penerangan visual seperti penggunaan anak panah bagi menerangkan secara jelas, ringkas dan padat mengenai isu yang dikenal pasti dari permulaan penyelidikan sehingga ke pengakhiran penyelidikan. Pembinaan kerangka konseptual merangkumi faktor-faktor penyebab kepada fenomena yang dikaji, pembolehubah, teori yang mendasari pelaksanaan penyelidikan dan sorotan literatur. Penyelidik berupaya untuk mentukan soalan-soalan kajian yang ingin dijawab serta menerangkan hubungkait antara elemen-elemen tersebut secara sistematik agar tidak terpesong daripada objektif utama kajian.

Berdasarkan kepada penyelidikan saya, elemen-elemen yang dimaksudkan adalah seperti faktor penyumbang pembentukan miskonsepsi pecahan, pembolehubah seperti tahap pengekalan pengetahuan murid, tahap penguasaan pengetahuan konseptual dan prosedural dalam kalangan murid, tahap penguasaan pengetahuan pedagogi kandungan dalam kalangan guru, serta Teori Pembelajaran Bruner (1971) dan Teori Ingatan Atkinson-Shiffrin (1968). Proses pengumpulan data akan dilaksanakan secara empirikal berdasarkan kepada kerangka konseptual bagi mencapai dua objektif utama penyelidikan saya, iaitu bertujuan untuk mengkaji masalah miskonsepsi pembelajaran Matematik melibatkan topik Pecahan dalam kalangan murid Sekolah Kebangsaan dan untuk mengenal pasti cara-cara mengatasi masalah pembentukan miskonsepsi melibatkan topik Pecahan.

Kesimpulannya, kerangka konseptual berperanan penting dalam menentukan bagaimana prosedur empirikal dan teoritikal yang digunakan sebagai pendekatan untuk menjawab soalan kajian dan menyelesaikan permasalahan kajian yang dikemukakan. Kerangka konseptual juga berperanan sebagai panduan dan hala tuju bagi memastikan pelaksanaan penyelidikan secara sistematik bagi mencapai objektif utama penyelidikan.