You are currently viewing Bagaimana rupa budaya tempat kerja yang positif boleh mempengaruhi sikap pekerja ke arah peningkatan produktiviti

Bagaimana rupa budaya tempat kerja yang positif boleh mempengaruhi sikap pekerja ke arah peningkatan produktiviti

Budaya kerja dalam sesebuah organisasi mempunyai pengaruh yang signifikan terhadap kesihatan mental, kesihatan fizikal, dan kesejahteraan dalam kehidupan. Kajian Mohd Nazirol Syafiq Badrol Hisham (2015) mendapati bahawa elemen persekitaran fizikal seperti pencahayaan, kualiti udara, ruang pejabat, ruang kerja, ergonomik, suhu persekitaran, bunyi dan estetika akan mempengaruhi tahap kepuasan pekerja dan produktiviti sesebuah organisasi.

Antara elemen budaya kerja yang positif menurut Juneja (2018) ialah keselesaan dalam pergaulan, layanan terhadap pekerja, penghargaan, komunikasi dengan majikan, tempoh masa bekerja, fleksibiliti dalam pelaksanaan tugas, dan sokongan sosial. Daripada kedua-dua sorotan literatur, budaya kerja yang positif akan menyumbang kepada peningkatan tahap kepuasan bekerja dan seterusnya mempengaruhi sikap pekerja ke arah peningkatan produktiviti.

Sesebuah organisasi perlu menyediakan persekitaran kerja yang kemas, bersih, dan teratur melalui pembudayaan amalan 5S, iaitu ‘Sisih’, ‘Susun’, ‘Sapu’, ‘Seragam’, dan ‘Sentiasa Amal’. Menurut Kementerian Kerja Raya Malaysia (2016), amalan 5S dapat meningkatkan kualiti dan produktiviti di tempat kerja secara berterusan melalui persekitaran kerja yang kemas, bersih, dan teratur. Daripada pernyataan ini, amalan 5S adalah berkait rapat dengan konsep bergotong-royong untuk menyediakan persekitaran fizikal yang positif dalam sesebuah organisasi dan tempat kerja. Sebagai contoh, ‘Sisih’ dan ‘Susun’ berupaya mengubah reka bentuk bilik dan memanfaatkan sepenuhnya ruangan bekerja sesebuah organisasi. Hal ini demikian kerana para pekerja akan bertingkah laku prososial dengan bekerjasama menyisihkan barangan yang tidak diperlukan untuk tujuan pelupusan atau dibuang, serta menyusun semula dan melabel setiap peralatan agar mudah dicari dan digunakan.

Amalan 5S ‘Sapu’ pula mengutamakan elemen kebersihan bagi memastikan keadaan tempat kerja selesa dan selamat digunakan oleh para pekerja. Sekiranya berlakunya kecederaan otot atau kemalangan ketika bekerja, hal ini akan menyebabkan gangguan trauma kumulatif (CTSs) dan memberi kesan kepada produktiviti para pekerja. Oleh itu, amalan menyisih, menyusun, dan menyapu wajar dipraktikkan. Kelima-lima amalan 5S bukan sahaja akan meningkatkan kebersihan, pengudaraan dan pencahayaan dalam sesebuah organisasi, tetapi turut berupaya menerapkan budaya kerja positif, disiplin dan sikap bertanggungjawab para pekerja terhadap persekitaran kerja mereka. Kualiti kerja dan produktiviti turut akan meningkat sekiranya para pekerja memperoleh pendedahan amalan 5S daripada pihak atasan (Wan Noorli Razali et al., 2020). Pengurusan landskap adalah penting dalam mewujudkan suasana persekitaran harmoni dan keselesaan masyarakat.

Selain itu, reka bentuk landskap di sesebuah organisasi akan mempengaruhi sikap pekerja ke arah peningkatan produktiviti. Perancangan, reka bentuk dan pengurusan landskap yang professional akan menampilkan suasana persekitaran harmoni supaya kehidupan manusia sejagat lebih inovatif dan berdaya maju. Menurut Nurazyani Haifaa Salahuddin et al. (2021), penggunaan langskap di sesuatu kawasan bergantung kepada keadaan sekeliling seperti bentuk muka bumi, iklim, tumbuhan, lokasi dan pemandangan kawasan persekitaran bagi meningkatkan keharmonian dan keselesaan kehidupan. Sebagai contoh, sesebuah tempat kerja bukan sahaja mempunyai bangunan, tetapi juga perlu dihiasi dengan pokok-pokok, tumbuh tumbuhan hijau, bunga, dan kolam ikan. Apabila para pekerja berasa tertekan dengan bebanan tugasan, maka mereka boleh merehatkan minda mereka dengan menghayati keindahan landskap alam semula jadi di kawasan kerja mereka.

Pernyataan ini adalah disokong dengan Stress Reduction Theory yang dipelopori oleh Ulrich (1981), iaitu individu yang didedahkan dengan persekitaran alam semula jadi akan mengalami proses pemulihan stres yang lebih cepat berbanding dengan individu yang didedahkan dengan bangunan sahaja. Pernyataan beliau adalah selaras dengan Kajian Hu et al. (2022) yang melaporkan bahawa pekerja yang mengalami tekanan mental dan fizikal sembuh dengan lebih cepat apabila didedahkan dengan video yang menunjukkan persekitaran alam semula jadi berbanding dengan video mengenai bangunan. Oleh itu, apabila bekerja dalam sesebuah organisasi yang mengambil kira aspek reka bentuk landskap, pekerja akan mengalami ketenangan dalaman, bermotivasi dan komited terhadap tugasan mereka. Hal ini secara tidak langsung akan menyumbang kepada peningkatan produktiviti para pekerja.

Seterusnya, budaya tempat kerja yang positif harus mengambil kira aspek keprihatinan majikan terhadap kebajikan para pekerja. Sikap penyelia yang baik, saling menghormati dan memahami pekerja, serta prihatin terhadap tugas dan kekangan pekerja akan menyumbang kepada sikap positif dan produktiviti tenaga kerja (Berita Harian, 2018). Majikan perlu peka terhadap faktor ‘hygiene’ yang menyebabkan ketidakpuasan bekerja para pekerja sebagaimana yang disarankan dalam Teori Motivasi Dua Faktor Herzberg (1959). Sebagai contoh, majikan membenarkan para pekerja untuk menemani dan melawat ahli keluarga yang sakit atau telah meninggal dunia. Majikan yang tidak empati dan bertindak dengan melarang para pekerja melawat ahli keluarga akan menjejaskan emosi dan tahap kepuasan bekerja mereka. Contoh seterusnya ialah para pekerja diberikan gaji yang berlainan walaupun bidang tugas adalah sama. Hal ini akan mengurangkan motivasi dan tahap kepuasan bekerja mereka. Oleh itu, majikan yang prihatin terhadap kebajikan para pekerja sudah semestinya dapat meningkatkan produktiviti para pekerja.

Selain itu, sesebuah organisasi perlu mengamalkan budaya memberikan sokongan sosial kepada yang memerlukannya. Berdasarkan Teori Kecerdasan Emosi Goleman (1999), pihak majikan perlu memahami emosi orang lain dan memiliki sikap empati. Pihak majikan perlu bertingkah laku secara prososial dengan memberikan sokongan sosial bagi mengurangkan tekanan dan masalah yang dihadapi oleh para pekerja. Hasil kajian Chen dan Xu (2021) menunjukkan bahawa individu yang menerima sokongan sosial berkecenderungan bertingkah laku prososial dengan memberikan sokongan sosial kepada orang lain. Sikap empati yang ditunjukkan terhadap para pekerja akan memotivasikan mereka untuk bekerja dengan lebih tekun dan menyebabkan mereka mengalami perubahan tingkah laku secara positif. Majikan yang bertingkah laku prososial dengan menghulurkan sokongan sosial akan mewujudkan suatu budaya kerja yang bekerjasama, tolong-menolong dan saling kebergantungan antara satu sama lain. Pernyataan ini adalah disokong dengan Teori Sokongan Organisasi oleh Eisenberger et al. (1989) yang menyatakan bahawa pekerja yang mempunyai tanggapan sokongan organisasi yang tinggi akan berasa bertanggungjawab untuk memberi balasan dan manfaat kepada organisasinya. Oleh itu, sesebuah organisasi yang membudayakan amalan pemberian sokongan sosial akan mempengaruhi sikap pekerja ke arah peningkatan produktiviti.

Justeru itu, budaya tempat kerja yang turut mempengaruhi sikap pekerja ke arah peningkatan produktiviti ialah organisasi yang memberi penghargaan terhadap sumbangan para pekerja. Berdasarkan Teori Motivasi ERG Alderfer (1951), individu yang memperoleh penghargaan daripada pihak majikan akan mengalami peningkatan produktiviti apabila berasa lebih yakin dan bermotivasi terhadap tugasan yang diberikan. Kajian Saodah dan Junaidah (2015) juga menyatakan bahawa seseorang pekerja berasa dihargai apabila majikan menerima lontaran idea dan pendapat mereka. Berdasarkan kepada teori ERG juga, majikan boleh memenuhi keperluan kesempurnaan diri para pekerja dengan memberikan motivasi ekstrinsik dengan meningkatkan gaji pekerja, menaikkan pangkat pekerja, cuti, bonus, serta memberikan insentif latihan kepada pekerja yang ingin meningkatkan kebolehan mereka. Motivasi ekstrinsik yang diberikan secara tidak langsung akan menyuntik semangat, meningkatkan motivasi intrinsik para pekerja, dan mewujudkan budaya tempat kerja yang positif. Dengan itu, para pekerja akan mengubah sikap mereka ke arah peningkatan produktiviti kerja.

Kesimpulannya, budaya tempat kerja yang positif yang telah dikemukakan ialah persekitaran kerja yang kemas, bersih dan teratur melalui pembudayaan amalan 5S, reka bentuk langskap, keprihatinan majikan terhadap kebajikan para pekerja, budaya memberikan sokongan sosial, dan memberi penghargaan terhadap sumbangan para pekerja. Namun, bagi menghasilkan budaya tempat kerja yang positif seperti yang telah dinyatakan, sesebuah organisasi perlu mengamalkan gaya kepimpinan demokratik dengan mengambil kira pandangan semua para pekerja. Dengan itu, sudah semestinya budaya kerja yang terbina berupaya merangsang keseronokan dan kepuasan bekerja dalam sesebuah organisasi. Malah berdasarkan kepada Teori Motivasi Vroom, para pekerja akan termotivasi untuk mengambil langkah proaktif bagi mencapai matlamat yang ditentukan organisasi mereka. Oleh itu, budaya kerja yang positif berupaya mempengaruhi perubahan sikap ke arah peningkatan produktiviti dalam sesebuah organisasi.

Berita Harian Online (2018, May 1). Pekerja Cemerlang Pacu Produktiviti Negara. Berita Harian Online. https://www.pressreader.com/malaysia/berita-harian-malaysia/20190528/281638191681282

Chen, Y. & Xu, Y. (2021). Exploring the Effect of Social Support and Empathy on User Engagement in Online Mental Health Communities. International Journal of Environmental Research and Public Health, 18(13), 685-702. https://doi.org/10.2147/RMHP.S360892

Hu, C., Zhu, K., Huang, K., Yo, B., Jiang, W., Peng, K., & Wang, F. (2022). Using Natural Intervention to Promote Subjective Well-Being of Essential Workers during Public Health Crisis: A Study during COVID-19 Pandemic. Journal of Environmental Psychology, 79(101745), 1-9. https://doi.org/10.1016/j.jenvp.2021.101745

Juneja, J. (2018). Work Culture – Meaning Importance & Characterics of a Healthy Culture. Management Study Guide. https://www.managementstudyguide.com/common-threats-to-organization.htm

Kementerian Kerja Raya Malaysia (2016). Buku Panduan Pelaksanaan Amalan Persekitaran Berkualiti 5S. Kuala Lumpur: Kementerian Kerja Raya Malaysia. http://www.kkr.gov.my/public/BUKU%20PANDUAN%205S%202016.pdf

Mohd Nazirol Syafiq Badrol Hisham (2015). Faktor Persekitaran Fizikal Dalaman Pejabat terhadap Kepuasan Pekerja (Tesis Ijazah Sarjan). Johor Bahru, Johor: Universiti Teknologi Malaysia.

Nurazyani Haifaa Salahuddin, Sharifah Meryam Shareh Musa, Narimah Kasim, Hamidun Mohd Noh, & Rozlin Zainal (2021). Kajian Pengurusan Fasiliti Landskap di Bandar Penggaram, Batu Pahat. Research in Management of Technology and Business, 2(2), 478-493. https://doi.org/10.30880/rmtb.2021.02.02.035

Saodah Wok & Junaidah Hashim (2015). The Moderating Effect of Employee Relations on Networking Towards Workplace Happiness among Married Women in Malaysia. Procedia – Social and Behavioral Sciences, 211, 306-312. https://doi.org/10.1016/j.sbspro.2015.11.039

Wan Noorli Razali, Zuraira Libasin, & Rosley Jaafar (2020). 5S Practice: Its Effects on Quality and Productivity of Work. E-Academia Journal of UiTM Cawangan Terengganu, 2(9), 1-7. http://journale-academiauitmt.uitm.edu.my/