You are currently viewing Perkaitan Antara Motivasi: Intrinsik dan Ekstrinsik

Perkaitan Antara Motivasi: Intrinsik dan Ekstrinsik

Terdapat perkaitan antara motivasi intrinsik dan motivasi ekstrinsik. Kedua-dua jenis motivasi akan mempengaruhi pembelajaran murid dalam bilik darjah.

Menurut Schneider et al. (2017), motivasi intrinsik yang tinggi berbanding motivasi ekstrinsik ialah petanda positif kerana ianya menggambarkan motif penglibatan yang memfokuskan keseronokan dan kehendak individu sendiri.

Motivasi intrinsik akan menyebabkan pelajar melakukan sesuatu bermotifkan kepuasan manakala motivasi ekstrinsik akan menyebabkan manusia tertarik dengan penawaran ganjaran (Lily Hanefarezan Asbullah et al., 2018).

Menurut Lily Hanefarezan Asbullah et al. (2018), seseorang individu menjadi lebih produktif dan berkualiti sekiranya didorong oleh motivasi intrinsik berbanding dengan ekstrinsik. Namun begitu, apabila guru menawarkan ganjaran (motivasi ekstrinsik) secara kerap, motivasi intrinsik berkemungkinan akan menurun dan hasil kerja akan merosot.

Berdasarkan Teori Penentuan Kendiri (Self-Determination Theory), motivasi intrinsik akan menurun apabila terdapat ganjaran dalam sesuatu penglibatan. Manakala pula berdasarkan Teori Atribusi (Attribution Theory), pemberian ganjaran setelah tamat sesuatu aktiviti akan menyebabkan individu berkecenderungan menyifatkan (attribute) tingkah laku kepada ganjaran (ekstrinsik) dan bukannya minat (intrinsik).

Namun begitu, kajian Sternberg dan Lubart (1985) mendapati bahawa pemberian motivator ekstrinsik seperti gred dan wang tidak semestinya akan menjejaskan kualiti kerja individu berkenaan. Beliau menyarankan bahawa pemberian ganjaran ekstrinsik perlulah bergantung kepada peringkat kerja, tugas, aktivitu atau pencapaian tertentu.

Berdasarkan Means-End Fusion Theory yang diperkenalkan oleh Kruglanski et al. (2018), sebarang tugasan atau aktiviti boleh dialami secara intrinsik atau ekstrinsik dan bergantung kepada bagaimana tanggapan individu tersebut sama ada.

Motivator intrinsik adalah lebih kepada tugasan yang memerlukan fokus yang tinggi (task focusing) untuk mencapai sesuatu matlamat dan kepuasan dalam kehidupan (achievement, fulfilment). Manakala pula motivator ekstrinsik adalah lebih kepada tugasan yang berorientasikan matlamat (goal orientated) kepada ganjaran.

Menurut Jovanovic dan Matejevic (2014), walaupun individu memperoleh kepuasan dalam sesuatu aktiviti atau tugasan pada permulaannya, tetapi tahap kepuasan dan minat akan berkurangan sekiranya berpanjangan. Oleh itu, motivator ekstrinsik diperlukan untuk memulihkan semula individu agar berupaya meneruskan semula aktiviti tersebut.

Kesimpulannya, guru memainkan peranan untuk menyuntik motivasi dalam jiwa anak murid supaya murid-murid bermotivasi intrinsik untuk melibatkan diri secara aktif dalam tugasan dan PdPc yang dilaksanakan. Motivasi ekstrinsik perlu diberikan bagi menggalakkan atau menyemarakkan semula (reignite) minat murid dalam bilik darjah.

Hujah-hujah yang dikemukakan jelas menunjukkan bahawa terdapat hubungan signifikan antara motivasi intrinsik dan motivasi ekstrinsik.

Jovanovic, D. & Matejevic, M. (2014). Relationship between Rewards and Intrinsic Motivation for Learning – Researches Review. Procedia – Social and Behavioral Sciences, 149, 456-460.

Kruglanski, Fishbach, A., Woolley, K. (2018). A Structural Model of Intrinsic Motivation: On the Psychology of Means-Ends Fusion. Psychological Review, 125(2). 165-182. https://doi.org/10.1037/rev0000095

Lily Hanefarezan Asbulah, Maimun Aqsha Lubis, Ashinida Aladdin & Musab Sahrim (2018). Tahap Motivasi Holistik, Intrinsik dan Ekstrinsik terhadap Pembelajaran Kosa Kata Bahasa Arab dalam kalangan Graduan Universiti Awam. Asia Pacific Journal of Educators and Education, 33, 75-93. https://doi.org/10.21315/

Schneider, R., Harrington, M., & Tobar, D. (2017). Goal Orientation and How a Task or Ego Mentality can Affect the Enjoyment for College Hockey Players. College Student Journal, 51(1), 57-62.

Sternberg & Lubart (1985). Beyond IQ: A Triarchic Theory of Human Intelligence. Cambridge University Press.