You are currently viewing Teori Personaliti Psikodinamik: Mekanisme Helah Bela Diri

Teori Personaliti Psikodinamik: Mekanisme Helah Bela Diri

Teori Perkembangan Personaliti menurut Sigmund Freud menjelaskan bahawa personaliti manusia yang terbentuk adalah integrasi antara tiga komponen, iaitu id, ego dan superego. Namun begitu, Freud menjelaskan bahawa id, ego dan superego sering berlaku pergolakan / perbalahan antara satu sama lain. Keadaan ini dinamakan sebagai konflik psikodinamik.

Personaliti seseorang adalah dibentuk berdasarkan kekerapan, jenis dan akibat konflik yang dihadapi. Ketika mengalami konflik, ego berperanan untuk menghalang individu daripada berasa bimbang dan rasa bersalah kerana tindakan id yang kurang wajar atau melanggar peraturan superego yang mempunyai nilai-nilai murni. Sering kali ego mengarahkan kita untuk bertindak secara rasional tetapi ego akan menggunakan helah bela diri pada tahap bawah sedar untuk melindungi dri daripada perasaan bimbang dan serba salah.

Apabila seseorang berasa bimbang atau kecewa, harga dirinya akan tergugat. Untuk mempertahankan harga dirinya, individu berkenaan perlu melakukan pelbagai bentuk penyesuaian agar harga dirinya dipertahankan. Mekanisme yang digunakan oleh individu untuk mempertahankan harga diri dikenali sebagai helah bela diri. Helah bela diri merupakan mekanisme untuk menafikan, menukar atau menipu diri sendiri daripada menghadapi realiti.

Helah bela diri dibahagikan kepada dua jenis, iaitu:

    • Helah Bela Diri Asas
    • Helah Bela Diri yang Melibatkan Penipuan dan Gantian

1. HELAH BELA DIRI ASAS

Helah bela diri asas sering kali digunakan pada peringkat awal sesuatu krisis/masalah. Reaksi pertama apabila individu yang terlibat berasa terancam dan tertekan adalah bertindak dengan menafikannya atau tidak mahu menghadapi masalahnya secara realistik. Oleh itu, reaksi yang ditunjukkan berbentuk kemandirian (survival) fight or flight, iaitu menggunakan naluri asas untuk terus hidup.

A. Penafian (Denial)

  1. Individu tidak mahu menerima kenyataan atau realiti
  2. Cuba menyakinkan diri bahawa masalah itu tidak wujud bagi mengelakkan tekanan
    • Acika tidak dapat menerima laporan perubatan yang menyatakan bahawa dia menghidap penyakit barah dengan mengatakan laporan mempunyai kesalahan
    • Ibu menafikan kematian anaknya dalam kemalangan jalan raya dengan mengekalkan keadaan bilik tidur tanpa mengubah persekitarannya
    • Bella ditinggalkan kekasihnya tetapi masih mengharap bahawa fakta itu tidak benar dan kekasihnya tetap menyayanginya dan akan kembali ke pangkuannya.

B. Represi (Repression)

  1. Individu bertindak sengaja ‘melupakan’ sesuatu peristiwa yang pahit
  2. Menolak emosi, pemikiran dan pengalaman yang pahit ke bahagian minda bawah sedar (subconscious mind)
  3. Personaliti ego yang lebih dominan menghalang desakan id untuk membawa kenangan pahit ke alam sedar
    • Perpisahan persahabatan yang terlalu menyakitkan hati sehingga menyebabkan kita ‘melupakan’ peristiwa atau nama teman tersebut.
    • Bella, seorang gadis yang mempunyai Sejarah hitam dalam hidupnya, berpindah ke negara lain dan cuba melupakan peristiwa tersebut daripada ingatannya.

C. Penarikan (Withdrawal)

  1. Penarikan berlaku pada tahap alam sedar, iaitu seseorang sengaja menarik diri daripada situasi yang kurang menyeronokkan.
    • Individu berkemungkinan berasa kurang selesa apabila menghadiri majlis keramaian yang melibatkan orang kenamaan dan protokol-protokol rasmi. Untuk mengelakkan perasaan bimbang, individu menarik diri daripada terlibat dengan majlis yang diadakan dan kekal berada di rumah sahaja.

D. Supresi (Suppression)

  1. Supresi merupakan proses mental secara sedar untuk mengelakkan daripada memikirkan masalah
  2. Tidak membenarkan peristiwa sedih memenuhi ruang minda
    • Pelajar yang gagal peperiksaan mengisi masanya dengan bersenam atau menonton wayang

E. Keagresifan (Aggression)

  1. Menunjukkan tindakan yang agresif bagi menjaga harga dirinya yang tergugat seperti mengeluarkan kata-kata kesat, menumbuk atau membaling objek-objek berhampiran
  2. Keagresifan diarahkan (directed) kepada punca kekecewaan tersebut

2. HELAH BELA DIRI YANG MELIBATKAN PENIPUAN DAN GANTIAN

Helah bela diri yang berikut melibatkan tindakan yang melibatkan penipuan dan gantian.

A. Fantasi (Fantasy)

  1. Seseorang yang tidak boleh mencapai apa yang dikehendaki dalam alam sebenar dan berusaha mencapainya melalui fantasi
    • Pelajar yang berasa bosan mendengar kuliah berangan-angan / berfantasi dirinya bera dalam sebuah pertunjukan konsert hiburan.
    • Bella seorang perempuan kampung yang miskin dan menyara keluarganya dengan menjual nasi lemak. Bella berhasrat menjadi kaya dan mengahwini putera raja lalu Bella berfantasi. Hasrat Bella tercapai dalam fantasinya.

B. Regresi (Regression)

  1. Regresi melibatkan penarikan diri ke peringkat / tahap perkembangan yang sebelumnya (zaman kanak-kanak), iaitu keadaan kurang tertekan dengan mempamerkan watak keanak-anakan dan tingkah laku kebergantungan berlebihan
    • Bella yang berumur tiga tahun berasa kecewa apabila ibu bapanya mengalih perhatian mereka kepada adik yang baru dilahirkan. Hal ini menyebabkan Bella merengek dan membuang air di atas tilam walaupun telah dilatih ke tandas.
    • Apabila individu berasa harga diri tercabar dengan kritikan dan komen pensyarah yang meletakkan ekspektasi tinggi terhadap pembentangan / PdPc, individu menunjukkan mulut muncung ataupun menangis.

C. Rasionalisasi (Rationalization)

  1. Merupakan kaedah helah bela diri yang menggunakan alasan atau penjelasan yang seolah-olah munasabah untuk mempertahankan tindakannya supaya dapat diterima oleh pihak lain

    • Apabila Bella gagal dalam peperiksaan matematiknya, dia cuba menyalahkan pengajaran gurunya, soalan terlalu susah atau tidak mencukupi masa untuk membuat ulang kaji.
    • Seorang pekerja yang dipecat oleh majikannya merasionalkan bahawa jawatan tersebut tidak menarik.

D. Pindah Gantian (Displacement)

  1. Keagresifan yang diarahkan kepada objek / orang lain
  2. Memindahkan perasaan negatif yang terpendam kepada seseorang yang disegani, kepada orang atau objek yang tidak berbahaya
  3. Hal ini bermaksud pindah gantian memerlukan seseorang individu untuk mencari seorang mangsa untuk melepaskan perasaan yang bersifat negatif seperti kekecewaan.
  4. Mangsa biasanya dipilih dalam kalangan orang yang kurang berkuasa atau kurang berpengaruh daripada individu yang mengalami ketegangan (tension) atau tekanan (stress).
    • Kanak-kanak yang dimarahi ibunya bertindak mencubit adiknya
    • Seorang pekerja (bapa) bertindak memarahi anaknya apabila pulang ke rumah setelah ditegur oleh pegawai atasannya ketika bekerja.
    • Cikgu Bella yang dimarahi Guru Besar berasa amat marah dan memindahkan rasa marah kepada murid-muridnya apabila memasuki bilik darjah.

E. Pembentukan Reaksi

  1. Merupakan suatu tindakan kepura-puraan atau lakonan yang menonjolkan sifat berlainan untuk menyembunyikan perasaan negatif dalam dirinya
  2. Juga dikenali sebagai tindakan seseorang yang bertentangan dengan motif asalnya
    • Adam berasa cemburu terhadap rakan sejawatnya, Bella yang berjaya memegang jawatan yang dihasratkan Adam. Oleh itu, Adam menunjukkan kemesraan dan keprihatinan yang keterlaluan kepada Ibrahim. Sebenarnya, di sebalik kemesraan yang ditunjukkan, tersembunyi perasaan cemburu.
    • Amin berasa benci dan meluat pada majikannya tetapi menunjukkan tingkah laku positif dan menghormati majikannya sehingga majikan tertipu dalam penilaiannya terhadap Amin.

F. Projeksi

  1. Meletakkan pemikiran dan perasaan negatif pada orang lain
  2. Personaliti ego tidak dapat menerima kelemahan diri, maka kelemahan dirinya cuba dipaparkan menjadi kelemahan orang lain.
    • Seorang guru pelatih bangun lewat dan mempunyai keinginan untuk memonteng kuliah tetapi ego memberitahu dirinya bahawa perbuatan tersebut salah. Untuk menipu diri, dia mengatakan rakan-rakan lain juga selalu ponteng kuliah.
    • Bella menyalahkan gurunya yang tidak pandai mengajar dan menyebabkan dia gagal dalam peperiksaan Matematik. Sebenarnya, Bella yang bersalah kerana tidak mahu belajar dan tidak membuat latihan Matematik yang diberikan.

G. Identifikasi (Identification)

  1. Individu yang berasa kecewa kerana gagal mencapai sesuatu cuba membuat penyesuaian dengan menyifatkan dirinya seperti orang yang berjaya.
  2. Mengaitkan diri dengan orang-orang yang berjaya supaya dapat mengatasi perasaan rendah diri.
    • Seorang guru senior yang tidak dipilih sebagai guru besar sering kelihatan berdampingan dengan guru besar dan pegawai berpangkat tinggi dengan harapan dapat menumpang kedudukan berkenaan dan menyerap pengaruh orang-orang yang didampinginya.
    • Penyanyi baru akan meniru gaya penyanyi yang popular untuk mengatasi perasaan rendah diri dan menambah keyakinan kendiri.

H. Kompensasi (Compensation)

  1. Seseorang yang menutup kelemahan diri dengan membesarkan kejayaan dalam bidang lain.
    • Pelajar yang ketinggiannya tidak mencukupi untuk menyertai pasukan bola tampar akan menumpukan sepenuh perhatian dalam sukan angkat berat sehingga berjaya menjadi johan dalam acara tersebut.
    • Pelajar yang lemah dalam akademik cuba kompensasi dengan mengasah kemahiran interpersonalnya supaya menjadi popular dalam kalangan guru dan rakan sekolahnya.
    • Bella membesarkan kejayaannya dalam akademik untuk menutupi kelemahannya dalam sukan bola jaring.

I. Sublimasi (Sublimation)

  1. Merupakan suatu tindakan helah bela diri yang melibatkan pemindahan atau penggantian impuls id dengan mengalihkan tenaga kepada tingkah laku yang boleh diterima oleh masyarakat
    • Individu yang bersifat pendiam biasanya menyalurkan perasaan dan pemikirannya dalam bidang kesenian seperti mencipta lirik lagu atau menulis cerpen untuk majalah
    • Bella berasa kecewa setelah putus cinta, namun telah mengalihkan perasaan cintanya daripada lelaki kepada cintakan tanah air apabila memasuki tentera.