You are currently viewing Bagaimana Pengetahuan tentang Pendidikan Multibudaya boleh Membantu Mengurangkan Konflik Sosial

Bagaimana Pengetahuan tentang Pendidikan Multibudaya boleh Membantu Mengurangkan Konflik Sosial

Pengetahuan tentang pendidikan multibudaya boleh membantu saya untuk mengurangkan konflik sosial yang berlaku melibatkan sikap berat sebelah (bias). Antara pengetahuan pendidikan multibudaya yang boleh diintegrasikan bagi menangani konflik sosial yang wujud adalah dengan menerapkan pendekatan Human Relations dalam Model Sleeter dan Grant (2008).

Berdasarkan model pendidikan multibudaya Human Relations, apabila pedagogi responsif budaya yang dilaksanakan berupaya untuk memberikan pendedahan mengenai sikap prejudis, stereotaip, panggilan nama, perbezaan dan persamaan individu, maka sesi PdPc yang dilaksanakan adalah dianggap berjaya untuk memberikan pembelajaran yang berkesan dan bermakna kepada murid-murid.

Bagi mengikis sikap bias yang wujud dalam kalangan murid, guru perlulah memupuk perasaan dan sikap positif murid terhadap antara satu sama lain tanpa mengenal budaya, komunikasi, tahap keupayaan kognitif, etnik dan warna kulit. Dengan mengintegrasikan elemen kemahiran sikap terhadap amalan multibudaya di sekolah sebagaimana yang dikemukakan dalam Model Byram, guru boleh menerapkan strategi pembelajaran kolaboratif yang menggalakkan murid bekerjasama dan berinteraksi dengan murid yang lain.

Menurut Brown et al. (2019), murid yang mempunyai budaya dan bahasa yang berlainan atau merupakan golongan minoriti menyebabkan mereka berkecenderungan tinggi untuk dipinggirkan sama ada berpunca daripada konsep kendiri atau sikap negatif rakan sebaya. Walaupun ahli kumpulan terdiri daripada etnik yang berlainan, guru memainkan peranan sebagai fasilitator untuk menggalakkan murid untuk bertanya soalan menggunakan bahasa komunikasi yang mudah difahami. Setiap murid perlu digalakkan untuk bekerjasama tanpa bersikap bias dan prejudis terhadap kepelbagaian yang wujud.

Selain itu, guru boleh menerapkan kaedah lakonan bagi menangani isu konflik sosial yang wujud. Hal ini dikatakan demikian kerana kaedah lakonan membenarkan murid untuk menilai kesan daripada sesuatu tindakan yang diambil. Sebagai contoh, aktiviti lakonan mengenai etnik minoriti yang menyendiri dalam kelas dan diejek oleh rakan sebaya yang berlainan etnik.

Bagi meningkatkan kesedaran kesan negatif bersikap bias, murid yang sering mengejek rakan mereka dalam bilik darjah akan melakonkan watak mangsa, iaitu golongan etnik minoriti Penan dan Kenyah. Kisah lakonan sebegini akan memberikan peluang kepada murid untuk menggambarkan kesan yang akan berlaku kepada watak lakonan dan seterusnya menyemai sikap tanggungjawab dalam tindakan moral yang akan diambil (Vasanthan Gurusamy et al., 2021). Konflik yang timbul disebabkan kepelbagaian budaya akan memberikan kesedaran kepada murid untuk mereflek terhadap tindakan yang diambil.

Brown, C.P., McMullen, M.B., & File, N. (2019). The Wiley Handbook of Early Childhood Care and Education. John Wiley & Sons.                                       

Sleeter, C.E. & Grant, C.A. (2008). Making Choices for Multicultural Education: Five Approaches to Race, Class, and Gender. John Wiley & Sons.

Vasanthan Gurusamy, Sharmini Siva Vikaraman, & Marshal Briewin Masilamani (2021). Kepatuhan Etika melalui Aktiviti Lakonan dalam Pengajaran dan Pembelajaran Pendidikan Moral di Sekolah Menengah. Muallim Journal of Scocial Sciences and Humanities, 5(4), 1-9. https://doi.org/10.33306/mjssh/154