You are currently viewing “Pendidikan Multibudaya merupakan idea, proses dan tindakan membentuk semula pendidikan” (Banks, 2002). Bincangkan.

“Pendidikan Multibudaya merupakan idea, proses dan tindakan membentuk semula pendidikan” (Banks, 2002). Bincangkan.

Menurut Banks (2002), pendidikan multibudaya merupakan idea, proses dan tindakan membentuk semula pendidikan. Dalam konteks idea, pendidikan multibudaya bertujuan untuk mewujudkan peluang yang sama rata kepada semua murid untuk memperoleh pendidikan di sekolah walaupun berlainan bangsa, etnik, kaum, kelas sosial, gender, dan budaya yang berlainan. Berdasarkan idea dan konsep peluang sama rata, bukan sahaja murid dari kelompok sosial tertentu sahaja boleh mendapat akses kepada pendidikan, tetapi murid yang mempunyai kepelbagaian budaya turut memiliki peluang yang sama untuk memperoleh pendidikan. Oleh itu, Banks telah menetapkan tujuh matlamat pendidikan multibudaya yang memfokuskan kepada idea utama peluang sama rata.

Matlamat pertama pendidikan multibudaya adalah bertujuan untuk mengurangkan diskriminasi terhadap sesuatu kaum dan memberikan pendidikan yang adil kepada semua individu. Matlamat kedua pendidikan multibudaya ialah saling menghormati antara satu sama lain tanpa mengambil kira perbezaan kaum dan kelas sosial. Melalui pendidikan multibudaya ini, murid akan mengenali kepelbagaian budaya dan kaum yang wujud. Dengan ini, pelajar akan lebih menghargai dan menghormati antara satu sama lain. Matlamat ketiga pendidikan multibudaya adalah bertujuan membantu pelajar membina pengetahuan, sikap dan kemahiran diri agar boleh membangunkan kaum sendiri dan juga kaum yang lain.

Matlamat keempat pendidikan multibudaya Banks pula adalah bertujuan membantu individu memahami kendiri dengan melihat mereka sendiri dari pespektif budaya yang berlainan. Matlamat kelima pendidikan multibudaya Banks adalah untuk membekalkan pelajar peluang untuk memahami dan memilih budaya kaum lain yang dianggap unik dan menarik. Matlamat pendidikan multibudaya Banks yang keenam ialah membekalkan semua pelajar kemahiran, sikap dan pengetahuan untuk memahami budaya sendiri dan budaya kaum lain. Idea utama peluang sama rata turut menyumbang kepada pembentukan matlamat pendidikan multibudaya yang ketujuh, iaitu mengurangkan diskriminasi antara kaum.

Seterusnya, pernyataan Banks sekiranya ditafsirkan dalam konteks proses, pendidikan multibudaya merupakan satu proses berterusan yang memerlukan komitmen masa dan usaha untuk merancang dan melakukan pemantauan untuk jangka masa yang panjang. Dalam menyediakan persekitaran sekolah yang menyokong pendidikan multibudaya, warga pendidik, sekolah dan guru perlu sentiasa melakukan penambahbaikan terhadap kurikulum, instruksional, pentaksiran, kefahaman terhadap pengetahuan dan mengekalkan persekitaran sekolah yang positif. Berdasarkan pernyataan Banks, tindakan membentuk semula pendidikan merupakan proses yang berterusan agar pelaksanaan PdPc berupaya mencapai matlamat pendidikan multibudaya yang dirangka bertemakan idea utama, iaitu peluang sama rata.

Membentuk semula pendidikan merujuk kepada mewujudkan peluang pendidikan yang sama untuk semua pelajar dengan mengubah keseluruhan persekitaran sekolah seperti peraturan, prosedur, kurikulum, bahan pengajaran, struktur organisasi dan polisi pendidikan. Transformasi dan pembentukan semula pendidikan dilakukan sehingga dapat mencerminkan pluralisme budaya, iaitu budaya dan kumpulan yang pelbagai dalam masyarakat dan negara. Oleh itu, Banks telah memperkenalkan lima dimensi pendidikan multibudaya yang boleh dijadikan sebagai panduan kepada para pendidik ketika melaksanakan pendidikan multibudaya di sekolah.

Dimensi pertama pendidikan multibudaya ialah integrasi isi kandungan (content integration) yang menginklusifkan bahan bantu mengajar, konsep dan nilai dari pelbagai budaya dalam pelaksanaan PdPc untuk menggambarkan sesuatu konsep, prinsip, generalisasi atau teori. Guru perlu mengenal pasti latar belakang dan pengetahuan sedia ada murid bagi memastikan keberkesanan pengintegrasian isi kandungan dalam kurikulum. Dengan ini, guru berupaya mengaitkan isi kandungan dengan contoh-contoh yang bersesuaian. Sebagai contoh, guru yang mengajar puisi boleh menyediakan contoh penulisan puisi daripada pelbagai tokoh supaya murid berupaya mengenali tokoh-tokoh puisi yang berlainan budaya ataupun tokoh penulis puisi yang mempunyai asal usul yang sama dengan budaya murid.

Dimensi kedua ialah proses pembinaan pengetahuan (knowledge construction process), iaitu murid memahami, meneroka dan mengenal pasti bagaimana tanggapan perspektif budaya dan bias mempengaruhi pembentukan sesuatu ilmu pengetahuan. Sebagai contoh, murid menganalisis proses pembinaan pengetahuan dalam sains dengan meneliti bagaimana rasisme mempengaruhi pembentukan ilmu sains melalui penjelasan teori. Menurut Parker (2019), proses pembinaan pengetahuan adalah lebih berkesan melalui hubungan interaksi berbandingkan sekiranya dilakukan secara berasingan. Dalam proses ini, guru berperanan untuk memberikan bimbingan secara scaffolding sebagaimana yang dikemukakan dalam Teori Sosiobudaya Vygotsky, iaitu membimbing murid untuk mengenal pasti perkaitan antara pengetahuan dengan kehidupan seharian murid.

Dimensi ketiga ialah pengurangan prejudis (prejudice reduction), di mana sesi PdPc dan aktiviti yang dirancang berupaya memupuk sikap positif murid terhadap perbezaan kaum, etnik dan budaya. Bahan pembelajaran yang mengandungi imej positif sesuatu etnik dan merangkumi pelbagai etnik perlulah digunakan secara konsisten dan sistematik dalam menerapkan dimensi multibudaya ini. Pengurangan prejudis dalam persekitaran sekolah akan menyumbang kepada proses pembinaan pengetahuan kerana memiliki kesihatan mental yang baik apabila tidak berasa takut untuk melibatkan diri disebabkan perbezaan yang wujud.

Dimensi keempat ialah pedagogi yang memfokuskan kesaksamaan (an equity pedagogy), iaitu guru perlu mengubahsuai strategi pengajaran untuk menyokong pembelajaran dan pencapaian akademik murid yang mempunyai kepelbagaian kaum, budaya, jantina dan kumpulan kelas sosial. Oleh itu, bagi membentuk semula pendidikan supaya bersifat multibudaya, guru perlu melengkapkan diri dengan pedagogi yang bersifat responsif budaya. Hal ini dikatakan demikian kerana pedagogi responsif budaya melibatkan penggunaan ciri-ciri budaya, pengamalan harian dan perspektif budaya yang pelbagai dalam usaha mengajar murid dengan lebih berkesan (Muhammad Zakwan Abdul Rahim et al., 2020).

Dimensi kelima ialah memperkasakan budaya sekolah dan struktur sosial (an empowering school culture and social structure). Dalam membentuk semula persekitaran sekolah, pemantauan perlu dilakukan terhadap kurikulum, prosedur peperiksaan, strategi pengajaran guru, penyertaan sukan, ketidakseimbangan dalam pencapaian dan hubungan interaksi antara warga sekolah dengan murid supaya membolehkan murid dari kaum, jantina, golongan yang berlainan mengalami pendidikan yang saksama.

Banks, J.A. (2002). An Introduction to Multicultural Education (3rd ed.). Allyn & Bacon.

Muhammad Zakwan Abdul Rahim, Nurfaradilla Mohamad Nasri & Mohamad Asyraf Abd Talib. (2020). Pedagogi Responsif Budaya: Kesedaran, Pengetahuan dan Kesediaan Guru. Jurnal Pendidikan Malaysia 45(1), 25-34.

Parker, J.L. (2019). Multicultural Education as a Framework for Educating English Language Learners in the United States. International Journal of Multidisciplinary Perspectives in Higher Education, 4(1), 22-35.