You are currently viewing Pendidikan Multibudaya: Ulasan Artikel Jurnal (Pedagogi Responsif Budaya)

Pendidikan Multibudaya: Ulasan Artikel Jurnal (Pedagogi Responsif Budaya)

TEACHERHENG
Muhammad Zakwan Abdul Rahim
Nurfaradilla Mohamad Nasri
Mohamad Asyraf Abd Talib

PEDAGOGI RESPONSIF BUDAYA: KESEDARAN, PENGETAHUAN DAN KESEDIAAN GURU

CULTURALLY RESPONSIF PEDAGOGY: TEACHERS' LEVEL OF AWARENESS, KNOWLEDGE AND READINESS

Terbitan: Jurnal Pendidikan Malaysia, 45(1), 25-34

Rujukan: Muhammad Zakwan Abdul Rahim, Nurfaradilla Mohamad Nasri & Mohamad Asyraf Abdul Talib (2020). Pedagogi Responsif Budaya: Kesedaran, Pengetahuan dan Kesediaan Guru. Jurnal Pendidikan Malaysia, 45(1), 25-34. http://dx.doi.org/10.17576/JPEN-2020-45.01SI-04

SINOPSIS

Kepelbagaian masyarakat di Malaysia telah memberi kesan yang signifikan kepada kepelbagaian budaya dalam sekolah, terutamanya sekolah kebangsaan. Identiti nasional hanya dapat dicapai sekiranya murid berupaya untuk memahami, menerima dan menghayati kepelbagaian budaya yang wujud. Kesedaran dan pemahaman guru mengenai pedagogi responsif budaya adalah penting untuk membantu guru merancang aktiviti PdP yang lebih berkesan dan dengan mengintegrasikan ciri-ciri budaya, pengamalan harian dan kepelbagaian perspektif budaya. Oleh itu, guru berperanan penting dalam menyemai permuafakan antara murid serta menggalakkan pembelajaran abad ke-21 yang sensitif kepada kepelbagaian budaya dalam kalangan murid.

Isu kepelbagaian budaya yang terdapat di sekolah telah memotivasikan pengkaji untuk mengkaji dengan lebih mendalam mengenai pedagogi responsif budaya dalam kalangan guru. Pengkaji menggunakan pendekatan kualitatif dengan reka bentuk kajian Grounded Theory terhadap 12 peserta kajian daripada daerah Lembah Klang melalui kaedah persampelan bertujuan.

TUJUAN / PERSOALAN

Tujuan utama pengkaji melaksanakan kajian ini adalah untuk mengenal pasti kesedaran, pengetahuan dan kesediaan guru untuk melaksanakan pendekatan pedagogi responsif budaya. Menurut pengkaji, pedagogi responsif budaya merupakan satu pendekatan pengajaran yang melibatkan penggunaan ciri-ciri budaya, pengamalan harian dan perspektif budaya yang pelbagai dalam usaha mengajar murid dengan lebih berkesan. Berdasarkan kepada tujuan utama pelaksanaan kajian, pengkaji telah menetapkan empat objektif yang ingin dicapai.

Bagi memastikan pengkaji mencapai objektif yang ditetapkan, pengkaji telah membentuk empat persoalan kajian untuk meneroka kesedaran guru, meneroka pengetahuan guru dan meneroka kesediaan guru untuk melaksanakan pedagogi responsif budaya serta untuk mengenal pasti kaedah pengajaran yang digunakan oleh guru.

IDEA UTAMA 1: KESEDARAN GURU MELAKSANAKAN PEDAGOGI RESPONSIF BUDAYA

Objektif pertama pelaksanaan kajian adalah untuk meneroka kesedaran guru untuk melaksanakan pedagogi responsif budaya. Dapatan kajian mendapati bahawa guru mempunyai tahap kesedaran yang tinggi terhadap keperluan dan kelebihan pendekatan pedagogi responsif budaya. Saya turut bersetuju dengan dapatan kajian yang diperoleh kerana pengkaji menyatakan bahawa pedagogi responsif budaya dapat mewujudkan persekitaran pembelajaran yang positif dan sesuai diamalkan dalam bilik darjah yang berbilang kaum. Pengkaji turut menjelaskan bahawa pedagogi ini berupaya menarik minat murid untuk mengikuti sesi pengajaran kerana berkait rapat dengan amalan kehidupan harian mereka.

Pada pendapat saya, guru yang mengetahui latar belakang murid berupaya merancang sesi PdPc yang sistematik dengan mengambil kira faktor kepelbagaian budaya dan perbezaan individu yang wujud dalam kalangan murid. Pernyataan ini adalah disokong dengan kajian Hasnah Isnon dan Jamaludin Badusah (2017) yang menyatakan bahawa guru yang mempunyai kesedaran terhadap kepelbagaian budaya dalam kalangan murid dapat menjadi seorang guru yang berkesan dalam pelaksanaan pendekatan pengajaran.

Pernyataan ini turut disokong dengan dapatan kajian Wong dan Nurfaradilla Mohamad Nasri (2021), iaitu guru yang memahami dan melengkapkan diri dengan ciri-ciri pedagogi responsif budaya dapat menghasilkan pengajaran yang berkesan. Kepelbagaian budaya yang wujud dalam kalangan murid tidak menjadi sebagai faktor penghalang kepada guru untuk menyampaikan pengajaran bermakna serta tidak menjadi sebagai faktor penghalang kepada murid untuk mengikuti sesi PdPc yang berlangsung.

Berdasarkan model pendidikan multibudaya Human Relations oleh Sleeter dan Grant (2008), apabila pedagogi responsif budaya yang dilaksanakan berupaya untuk memberikan pendedahan mengenai sikap prejudis, stereotaip, panggilan nama, perbezaan dan persamaan individu, maka sesi PdPc yang dilaksanakan adalah dianggap berjaya untuk memberikan pembelajaran yang berkesan dan bermakna kepada murid-murid.

Namun begitu, saya tidak bersetuju dengan dapatan kajian beliau, iaitu guru yang memahami latar belakang murid adalah lebih mudah untuk memahami tingkah laku murid ketika pelaksanaan Pengajaran dan Pemudahcaraan (PdPc). Pada pendapat saya, tingkah laku murid adalah sukar untuk diramal dan ditentukan walaupun guru memahami latar belakang murid berkenaan.

Berdasarkan Teori Tingkah Laku Terancang oleh Ajzen (1991), sebarang tingkah laku yang dikehendaki adalah dipengaruhi oleh niat dalaman seseorang, sama ada tingkah laku tersebut dilaksanakan atau tidak. Hal ini dikatakan demikian kerana tingkah laku yang dilaksanakan akan mencerminkan sikap murid berkenaan. Kajian Ryder et al. (2016) mendapati bahawa pedagogi pengajaran, arahan instruksional, pembentangan, perbincangan, aktiviti yang dilaksanakan dalam bilik darjah dan pengalaman kehidupan seharian melibatkan kepelbagaian budaya akan mempengaruhi sikap murid.

Oleh itu, tingkah laku yang dipamerkan oleh murid tidak semestinya berpunca daripada masalah kepelbagaian budaya yang wujud, tetapi berkemungkinan berpunca daripada norma subjektif dalam bilik darjah, aktiviti yang dilaksanakan dalam bilik darjah ataupun tahap kesukaran mempelajari topik berkenaan.

IDEA UTAMA 2: PENGETAHUAN GURU UNTUK MELAKSANAKAN PEDAGOGI RESPONSIF BUDAYA

Objektif kedua pelaksanaan kajian adalah untuk meneroka pengetahuan guru untuk melaksanakan pedagogi responsif budaya. Dapatan kajian mendapati bahawa tahap pengetahuan guru terhadap pedagogi responsif budaya masih lemah. Pengkaji menyatakan bahawa tahap pengetahuan guru yang lemah akan menyebabkan guru cenderung untuk mengelakkan diri daripada melaksanakan pedagogi responsif budaya dalam bilik darjah kerana dianggap rumit untuk dilaksanakan.

Saya bersetuju dengan pernyataan yang dikemukakan pengkaji kerana fenomena ini adalah diibaratkan sebagai peribahasa ‘tak kenal, maka tak cinta’. Pengetahuan yang terhad dan kurangnya pengalaman mengajar akan menyebabkan guru untuk menghindari pedagogi yang dianggap asing bagi mereka. Pernyataan ini adalah disokong dengan dapatan kajian Muhammad Zakwan et al. (2020), iaitu guru kurang berupaya mengaplikasikan pedagogi responsif budaya disebabkan oleh pengetahuan yang terhad terhadap pedagogi responsif budaya.

Pada pandangan saya, guru berkemungkinan tidak memperoleh latihan dan pendedahan yang secukupnya mengenai pelaksanaan pedagogi responsif budaya yang memfokuskan kepada pendidikan multibudaya dalam pelbagai mata pelajaran yang berlainan. Pernyataan ini adalah disokong dengan dapatan kajian Yasmin Ahmah dan Najeemah Mohamad Yusof (2016) yang menyatakan bahawa antara cabaran yang dihadapi guru ialah pendedahan yang lewat terhadap kepelbagaian budaya dalam persekitaran sekolah dan mengakibatkan guru untuk menerima serta menyesuaikan diri dalam persekitaran sekolah yang berbilang kaum.

IDEA UTAMA 3: KESEDIAAN GURU UNTUK MELAKSANAKAN PEDAGOGI RESPONSIF BUDAYA

Objektif ketiga pelaksanaan kajian ini adalah untuk meneroka kesediaan guru untuk melaksanakan pedagogi responsif budaya. Dapatan kajian mendapati majoriti peserta kajian mempunyai tahap kesediaan yang tinggi terhadap pelaksanaan pedagogi responsif budaya. Pengkaji menyatakan bahawa hampir semua responden bersedia untuk mengamalkan pedagogi responsif budaya dalam pengajaran serta tidak berasa terbeban untuk menukar kaedah pengajaran sedia ada sekiranya dibimbing oleh individu pakar yang berpengetahuan dalam bidang pedagogi.

Saya bersetuju dengan pendapat pengkaji kerana pernyataan yang dikemukakan menunjukkan bahawa guru yang mempunyai tahap kesediaan yang tinggi adalah lebih berkeupayaan untuk mengadaptasi diri mereka kepada perubahan dan bukannya terikat kepada kaedah pengajaran lama. Kesediaan guru perlu seiring dengan perubahan semasa bagi memastikan pendidikan yang dinamik tercapai objektifnya, terutamanya di sekolah yang terdiri daripada murid yang berlainan latar belakang dan budaya.

Pernyataan ini disokong dengan dapatan kajian Kanafadzi dan Jamaludin (2021) yang menyatakan bahawa pemberian kursus dalam perkhidmatan berupaya meningkatkan tahap kesediaan, kefahaman serta kepentingan perubahan terhadap kualiti pendidikan dalam kalangan murid. Menurut Green (2010), guru mesti melengkapkan diri dengan pengetahuan multibudaya apabila bilik darjah terdiri daripada murid yang berlainan budaya supaya murid dapat membentuk sikap menghormati sesama mereka. Oleh itu, guru perlu mempunyai tahap kesediaan yang tinggi bagi mengadaptasikan pedagogi yang biasa diamalkan menjadi pedagogi yang bersifat responsif budaya bagi menjamin kualiti pendidikan yang bersifat multibudaya.

Namun begitu, saya tidak bersetuju mengenai pandangan peserta kajian yang menjadikan faktor umur sebagai alasan untuk tidak melaksanakan pedagogi yang bersifat responsif budaya. Pada pandangan saya, guru yang mempunyai senioriti yang tinggi dianggap mempunyai ilmu pengetahuan dan pengalaman mengajar yang luas serta menjadikan guru-guru lebih matang dalam memberikan penilaian dan menyelesaikan masalah.

Malah, guru-guru yang berpengalaman berupaya melakukan penulisan Rancangan Pengajaran Harian (RPH) dengan mengambil kira faktor kepelbagaian budaya murid berpandukan kepada lima fasa pendidikan multibudaya sebagaimana yang diperkenalkan oleh Abdul Talib Hashim (2015), iaitu penulisan RPH bermula dari fasa penerokaan, menjana isu, memproses maklumat, aplikasi dan fasa terakhir ialah refleksi atau maklum balas. Hal ini demikian kerana faktor umur dan pengalaman mengajar menjadikan guru lebih berpengalaman dan bersedia menerima segala perubahan dan pembaharuan dalam semua aspek dalam bidang pendidikan (Ezwafahmey Ahmah Kusaini, 2018).

Oleh itu, guru yang lebih berpengalaman seharusnya dijadikan sebagai suri teladan dalam penulisan RPH bagi menerapkan pedagogi yang bersifat responsif budaya bagi mewujudkan suasana pembelajaran yang positif kepada murid yang mempunyai kepelbagaian budaya dan latar belakang yang berlainan.

IDEA UTAMA 4: KAEDAH PENGAJARAN YANG DIGUNAKAN OLEH GURU

Objektif keempat pelaksanaan kajian ini adalah untuk mengenal pasti kaedah pengajaran yang digunakan oleh guru. Pengkaji merumuskan bahawa kaedah pengajaran yang sesuai digunakan dalam bilik darjah ialah kaedah pembelajaran kolaboratif. Bagi memvariasikan kaedah pengajaran berdasarkan kesesuaian mata pelajaran yang diajar, guru boleh menerapkan elemen nilai murni, kaedah linguistik, main sambil belajar dan kaedah penceritaan dalam pelaksanaan pedagogi yang bersifat responsif budaya. Saya bersetuju dengan dapatan kajian ini, iaitu guru perlu memvariasikan kaedah pengajaran bagi mewujudkan suasana pembelajaran yang kondusif agar pembelajaran bermakna berlaku.

Namun begitu, pedagogi yang bersifat responsif budaya juga melibatkan pembelajaran kontekstual yang mengaitkan pengalaman seharian dan amalan murid di rumah dengan pengetahuan baru yang diperoleh. Menurut Mohd Nazri Abdul Rahman et al. (2021), guru perlu mempelajari nilai-nilai diversiti dalam kehidupan setempat supaya proses dan pengalaman aktiviti pembelajaran dalam kalangan murid dapat disampaikan secara efektif.  

Berdasarkan pendapat saya, guru yang menyedari kepelbagaian budaya dalam kalangan murid berupaya memberikan beberapa contoh penerangan melibatkan budaya dan amalan murid ketika di rumah. Bagi penggunaan kaedah pengajaran melibatkan linguistik, guru yang menyedari kepelbagaian budaya akan menggunakan bahasa yang mudah difahami oleh murid yang berlainan bangsa bagi mengurangkan masalah komunikasi dari aspek penggunaan bahasa perantaraan.

Berdasarkan The Contributions Approach yang dikemukakan Banks (1999), guru boleh mengagihkan bahan bacaan mengenai pantang larang bagi setiap sambutan perayaan yang berlainan supaya murid mengenali pantang larang sambutan perayaan tersendiri dan kaum lain. Ketika sesi Pengajaran dan Pemudahcaraan (PdPc) berlangsung, guru perlu menggunakan bahasa yang boleh difahami oleh murid serta menggunakan bahasa ibunda murid bagi mengisi jurang pengetahuan murid mengenai pantang larang sambutan perayaan bagi kaum yang berlainan sebagaimana yang ditekankan dalam Teaching the Exceptional and Culturally oleh Sleeter dan Grant (2008).

Menurut Gordon et al. (2021), kaedah pengajaran menggunakan bahasa yang berlainan adalah dikenali sebagai translanguaging dan kaedah ini berupaya meningkatkan tahap keyakinan diri dalam kalangan murid untuk melibatkan diri berkomunikasi dengan individu yang berlainan budaya dan bahasa. Oleh itu, guru perlu memvariasikan teknik pengajaran dengan menerapkan pembelajaran kontekstual dan penggunaan bahasa yang mudah difahami agar pedagogi yang bersifat responsif budaya dapat dilaksanakan dengan jayanya.

KESIMPULAN

Kesimpulannya, tugasan penulisan mengenai artikel jurnal ini telah membolehkan saya mengenal pasti kekuatan dan kelemahan kajian ini. Bagi aspek kekuatan, jurnal ini berupaya memberikan gambaran keseluruhan kepada pembaca mengenai pedagogi responsif budaya. Pembaca bukan sahaja berupaya mengenali secara terperinci mengenai pedagogi responsif budaya, tetapi turut boleh mengetahui tahap kesedaran, pengetahuan dan kesediaan guru terhadap pelaksanaan pedagogi ini.

Malah, kajian ini turut mencadangkan beberapa strategi pengajaran yang boleh digunakan dalam bilik darjah. Bagi aspek kelemahan, dapatan kajian bagi objektif keempat mengenai kaedah pengajaran adalah tidak begitu relevan dengan pedagogi responsif budaya. Hal ini demikian kerana peserta kajian tidak memperincikan secara lebih mendalam bagaimana strategi pengajaran yang dinyatakan boleh digunakan sebagai pendekatan menggunakan pedagogi responsif budaya. Sebagai contoh, bagaimana pembelajaran kolaboratif mengaitkan situasi harian murid dengan masalah kominiti setempat.

Walau bagaimanapun, saya tertarik dengan dapatan kajian mengenai strategi pengajaran, iaitu kaedah linguistik melalui aktiviti bercerita, menyanyi, syair dan pantun semaian (nursery rhymes). Kaedah linguistik yang dinyatakan memotivasikan saya secara tidak langsung untuk dipraktikkan dalam bilik darjah.

CADANGAN BAHAN BACAAN LAIN

Cadangan bahan bacaan lain mengenai pedagogi responsif budaya ialah ‘Pedagogi Responsif Budaya menerusi Cerita Rakyat untuk Kemahiran Literasi Awal Kanak-Kanak’ yang dikarang oleh Mohd Nazri Abdul Rahman et al. (2021). Bahan bacaan kedua yang boleh dibaca ialah ‘Hubungan antara Tahap Kebolehan Pengajaran dengan Pengalaman Mengajar Guru Bahasa Melayu dalam Mengaplikasikan Pedagogi Responsif Budaya’ yang dikarang oleh Wong dan Nurfaradilla Mohamad Nasri (2021).

Ajzen, I. (1991). The Theory of Planned Behavior. Organizational Behavior and Human Decision Processes, 50(2), 179-211. http://dx.doi.org/10.1016/0749-5978(91)90020-T

Banks, J.A. (1999).  An Introduction to Multicultural Education (2nd ed.). Allyn and Bacon.

Ezwafahmey Ahmah Kusaini (2018). Tahap Kesediaan Guru Cemerlang Bahasa Melayu terhadap Pelaksanaan Komuniti Pembelajaran Profesional di Sekolah Menengah di Negeri Melaka. Jurnal Pendidikan Bahasa Melayu, 8(1), 63-73.

Gordon, R.K., Ahmed, K., & Hosoda, M. (2021). Evolving Multicultural Education for Global Classrooms. IGI Global.

Green, S.L. (2010). Multicultural Educatin: A Necessary Tool for General and Special Education. Emerald Group.

Hasnah Isnon & Jamaludin Badusah (2017). Kompetensi Guru Bahasa Melayu dalam Menerapkan Kemahiran Berfikir Aras Tinggi dalam Pengajaran dan Pembelajaran. Jurnal Pendidikan Bahasa Melayu, 7(1), 55-66. http://spaj.ukm.my/jpbm/index.php/jpbm/issue/view/43

Kanafadzi, V., Jamaludin, K.A. (2021). Tahap Kesediaan dan Sikap Guru terhadap Perubahan yang Berlaku dalam Sistem Pendidikan: Kajian Sistematik terhadap Artikel-Artikel yang Terpilih. Jurnal Dunia Pendidikan, 3(3), 461-475. http://myjms.mohe.gov.my/index.php/jdpd

Mohd Nazri Abdul Rahman, Aishah Abdul Malek, & Muhammad Asyraf Mansor. (2021). Pedagogi Responsif Budaya menerusi Cerita Rakyat untuk Kemahiran Literasi Awal Kanak-Kanak. Jurnal Sains Insani, 6(1), 91-98. http://dx.doi.org/10.33102/sainsinsani.vol6no1.254

Muhammad Zakwan Abdul Rahim, Nurfaradilla Mohamad Nasri & Mohamad Asyraf Abd Talib. (2020). Pedagogi responsif budaya: kesedaran, pengetahuan dan kesediaan guru. Jurnal Pendidikan Malaysia 45(1), 25-34.

Ryder, A.J., Reason, R.D., Mitchell, J.J., Gillon, K., & Hemer, K.M. (2016). Climate for Learning and Students’ Openness to Diversity and Challenge: A Critical Role for Faculty. Journal of Diversity in Higher Education, 9(4), 339-352. http://dx.doi.org/10.1037/a0039766

Sleeter, C.E. & Grant, C.A. (2008). Making Choices for Multicultural Education: Five Approaches to Race, Class, and Gender. John Wiley & Sons.

Wong, L.S.C. & Nurfaradilla Mohamad Nasri (2021). Hubungan antara Tahap Kebolehan Pengajaran dengan Pengalaman Mengajar Guru Bahasa Melayu dalam Mengaplikasikan Pedagogi Responsif Budaya. Jurnal Dunia Pendidikan, 3(2), 468-483.

Yasmin Ahmad dan Najeemah Mohamad Yusof (2016). Sensitiviti Kepelbagaian Budaya dalam Kalangan Guru Pelbagai Etnik di Sekolah Menengah Kebangsaan di Malaysia. Jurnal Pendidikan Malaysia 41(1), 71-78.