You are currently viewing Konflik Sosial yang sering Berlaku dalam Masyarakat Pelbagai Budaya

Konflik Sosial yang sering Berlaku dalam Masyarakat Pelbagai Budaya

Dalam konteks sekolah, konflik sosial yang didapati sering berlaku adalah pengajaran guru yang bersifat berat sebelah (bias). Guru berkecenderungan tinggi untuk bersikap bias dan memberikan lebih banyak tumpuan kepada murid yang aktif melibatkan diri dalam PdPc, berpotensi tinggi dan memiliki tahap keupayaan kognitif yang tinggi. Dapatan kajian Yong dan Ku (2019) mendapati bahawa terdapat guru yang mewujudkan provokasi perkauman serta melakukan pengasingan murid mengikut etnik, latar belakang ekonomi dan agama agar muridnya dapat mencapai keputusan yang baik dalam peperiksaan.

Guru memfokuskan kepada satu kelompok sosial tertentu sahaja dan meminggirkan golongan minoriti disebabkan golongan minoriti adalah dianggap tidak berpendidikan dan kerap mengundang masalah kepada guru dan rakan sebaya. Konflik sosial ini adalah selaras dengan dapatan kajian Chin et al. (2020) yang mendapati bahawa guru memiliki sikap bias yang lebih tinggi terhadap golongan murid yang merupakan etnik minoriti.

Sikap bias yang dipamerkan dalam bilik darjah akan dijadikan sebagai salah satu pemodelan, iaitu murid bersikap bias terhadap perbezaan warna kulit antara rakan sebaya mereka. Malah, saya mendapati bahawa terdapat hampir separuh murid dalam kelas saya bersikap bias terhadap golongan minoriti etnik Penan dan Kenyah kerana memiliki bahasa komunikasi yang sukar difahami.

Semasa bersoal jawab dengan murid, murid memanggil rakan etnik Penan secara kasar ‘Penan’ dan bukannya memanggil rakan menggunakan nama asal mereka. Sikap bias yang wujud menyebabkan golongan etnik minoriti Penan dan Kenyah tidak ingin menghadiri sekolah kerana suasana persekitaran sekolah yang tidak bersifat mesra multibudaya. Pernyataan ini adalah disokong dengan dapatan kajian Abdullah et al. (2021), iaitu golongan majoriti dalam masyarakat sukar menerima sosio budaya golongan minoriti khasnya mereka yang berlainan etnik dan menyebabkan mereka melakukan bias tingkah laku.

Abdullah, K., Mariani, M.N., & Hutagalung, F.D. (2021). Penerapan dan Sumber Halangan Amalan Pendidikan Anti Bias dalam Pengajaran di Prasekolah Luar Bandar. Jurnal Penyelidikan Pendidikan, 39, 75-94.

Chin, M.J., Quinn, D.M., Dhaliwal, T.K., & Lovison, V.S. (2020). Bias in the Air: A Nationwide Exploration of Teachers’ Implicit Racial Attitudes, Aggregate Bias, and Student Outcomes. Educational Researcer, 49(8), https://doi.org/10.3102/0013189X20937240

Yong, H.H. & Ku, H.K.S. (2019). Sikap Negatif Guru sebagai Penghalang kepada Pembentukan Perpaduan Etnik di Sekolah. Akademika, 89(1), 149-159. https://doi.org/10.17576/akad-2019-8901-12