You are currently viewing Langkah-Langkah Menerapkan Elemen Kemahiran Pendidikan Multibudaya bagi Meningkatkan Keberkesanan PdPc

Langkah-Langkah Menerapkan Elemen Kemahiran Pendidikan Multibudaya bagi Meningkatkan Keberkesanan PdPc

Guru boleh meningkatkan keberkesanan pelaksanaan sesi Pengajaran dan Pemudahcaraan (PdPc) dalam bilik darjah sekiranya guru menerapkan elemen-elemen kemahiran pendidikan multibudaya. Berdasarkan kepada Model Pendidikan Multibudaya yang diperkenalkan Byram (1997), terdapat lima elemen kemahiran yang perlu diterapkan dalam bilik darjah, iaitu sikap terhadap amalan multibudaya di sekolah; pengetahuan; kemahiran meneroka dan mengaplikasi maklumat; kemahiran menghubung kait; dan bersikap kritikal terhadap kepelbagaian budaya.

Elemen kemahiran yang pertama dalam Model Byram ialah sikap terhadap amalan multibudaya di sekolah. Sikap memainkan peranan yang penting apabila murid berinteraksi dengan orang lain yang memiliki budaya yang berlainan daripada mereka. Bagi memupuk sikap positif dalam kalangan murid, guru boleh menggunakan kaedah pembelajaran kolaboratif yang menggalakkan murid bekerjasama dan berinteraksi dengan murid yang lain. Menurut Brown et al. (2019), murid yang mempunyai budaya dan bahasa yang berlainan atau merupakan golongan minoriti menyebabkan mereka berkecenderungan tinggi untuk dipinggirkan sama ada berpunca daripada konsep kendiri atau sikap negatif rakan sebaya.

Walaupun ahli kumpulan terdiri daripada murid yang berlainan latar belakang, etnik, taraf sosial dan pencapaian, guru memainkan peranan sebagai fasilitator untuk menggalakkan murid untuk bertanya soalan kepada rakan untuk mengenali budaya dan latar belakang ahli kumpulan. Setiap murid perlu digalakkan untuk bekerjasama tanpa bersikap prejudis terhadap kepelbagaian yang wujud. Oleh itu, pembelajaran kolaboratif yang memfokuskan kepada hubungan interaksi yang positif dalam kalangan ahli kumpulan yang bersifat heterogenous akan menjadikan murid bersikap terbuka untuk berkongsi pengetahuan dan bertanyakan soalan tentang kepelbagaian budaya sesama mereka.

Elemen kemahiran yang kedua dalam Model Byram ialah pengetahuan. Dalam meningkatkan keberkesanan pembelajaran, guru perlu menerapkan pembelajaran kontekstual agar murid berupaya membina pengetahuan tentang kelompok sosial, memahami amalannya dan menggunakan bahasa komunikasi yang sesuai ketika berinteraksi. Dalam pembelajaran kontekstual, guru perlu mengaitkan pembelajaran dengan pengalaman murid dalam kehidupan seharian. Menurut Mohd Nazri Abdul Rahman et al. (2021), guru perlu mempelajari nilai-nilai diversiti dalam kehidupan setempat supaya proses dan pengalaman aktiviti pembelajaran dalam kalangan murid dapat disampaikan secara efektif.

Apabila guru mengenali latar belakang murid dan budaya yang diamalkan oleh murid, maka guru dapat mengaitkan sesi PdPc dengan kepelbagaian budaya, adat dan kepercayaan yang wujud dalam kalangan murid. Sebagai contoh, individu yang menganuti agama berlainan bersembahyang mengikut cara mereka tersendiri, sama ada di surau, masjid, kuil, tokong, ataupun gereja. Pembelajaran bermakna akan berlaku apabila guru mengaitkan pembelajaran dengan konteks kehidupan seharian murid. Murid bukan sahaja berupaya memahami budaya dan mengetahui asal usul sesuatu budaya, tetapi sikap positif yang dipupuk melalui kemahiran pertama Model Byram akan mendorong murid untuk bertingkah laku dan menggunakan bahasa yang sesuai dengan budaya mereka.

Elemen kemahiran yang ketiga dalam Model Byram ialah kemahiran meneroka dan mengaplikasi maklumat. Elemen kemahiran yang keempat pula ialah kemahiran menghubung kait kefahaman budaya lain dengan amalan kehidupan. Bagi mengintegrasikan kedua-dua elemen kemahiran dalam PdPc, guru boleh menerapkan kaedah lakonan supaya murid melakonkan bagaimana adat dan kepercayaan diamalkan dalam sesuatu budaya.

Menurut Faizah Jalal dan Ani Omar (2014), aktiviti lakonan bukan sahaja dapat menerapkan nilai-nilai murni dan perpaduan kaum dalam kalangan murid, tetapi murid juga berupaya menghayati dan mengenali sesuatu budaya masyarakat, meningkatkan kemahiran bahasa serta meningkatkan kecekapan pemikiran dan pertuturan. Sebagai contoh, murid dikehendaki melakonkan sambutan hari perayaan ataupun melakonkan bagaimana agama berlainan menunaikan ibadat masing-masing. Melalui aktiviti lakonan, murid bukan sahaja memperoleh maklumat mengenai amalan terpuji bagi budaya yang berlainan, tetapi turut berpeluang untuk mengaplikasi dan menyesuaikan diri dalam situasi kepelbagaian budaya serta mempamerkan tingkah laku yang melambangkan identiti budaya mereka.

Elemen kemahiran yang keempat ialah bersikap kritikal terhadap kepelbagaian budaya. Strategi pembelajaran kolaboratif melalui kaedah lakonan turut berupaya mengukuhkan kemahiran kelima murid bersikap kritikal terhadap kepelbagaian budaya yang wujud sebagaimana yang dinyatakan dalam Model Bryam. Hal ini dikatakan demikian kerana kaedah lakonan membenarkan murid untuk menilai kesan daripada sesuatu tindakan yang diambil. Sebagai contoh, aktiviti lakonan mengenai perbezaan warna kulit menyebabkan mereka ditindas dan dipandang serong oleh masyarakat. Kisah lakonan sebegini akan memberikan peluang kepada murid untuk menggambarkan kesan yang akan berlaku kepada watak lakonan dan seterusnya menyemai sikap tanggungjawab dalam tindakan moral yang akan diambil (Vasanthan Gurusamy et al., 2021).

Konflik yang timbul disebabkan kepelbagaian budaya akan memberikan kesedaran kepada murid untuk mereflek terhadap tindakan yang diambil. Hal ini secara tidak langsung meningkatkan kemahiran murid untuk bersikap kritikal terhadap budaya sendiri atau budaya orang lain. Bagi memastikan ahli kumpulan dan penonton berupaya bersikap kritikal terhadap kepelbagaian budaya sama ada budaya sendiri mahupun budaya orang lain, guru juga boleh mengintegrasikan elemen kemahiran ini dalam sesi PdPc melalui kaedah pembentangan kumpulan.

Pembentangan yang dilakukan bukan sahaja akan meningkatkan kesedaran dan pengetahuan pembentang, tetapi turut menyemai sikap keterbukaan dalam kalangan penonton untuk menerima pandangan rakan sebaya. Sebagai contoh, setiap kumpulan dikehendaki membentangkan hasil akhir tugasan mengenai adat dan kepercayaan yang diamalkan ketika sambutan hari perayaan. Guru berperanan untuk menggalakkan murid untuk berfikir dan membuat refleksi terhadap kekuatan dan kelemahan budaya sendiri berdasarkan kepada pembentangan.

Kesimpulannya, Model Byram yang menekankan kepada lima elemen kemahiran pendidikan multibudaya adalah wajar diintegrasikan dalam sesi PdPc bagi meningkatkan keberkesanan pelaksanaan PdPc dalam bilik darjah. Menurut Wong dan Nurfaradilla Mohamad Nasri (2021), guru yang memahami dan melengkapkan diri dengan ciri-ciri pedagogi responsif budaya dapat menghasilkan pengajaran yang berkesan. Elemen kemahiran yang dikemukakan dalam Model Bryam tidak semestinya diterapkan satu persatu, tetapi turut boleh diintegrasikan bersama melalui strategi pembelajaran dan kaedah pengajaran yang berbeza, iaitu strategi pembelajaran kolaboratif, strategi pembelajaran kontekstual, kaedah lakonan, dan kaedah pembentangan kumpulan. Apabila guru memiliki kesedaran terhadap kepelbagaian budaya yang wujud dalam kalangan murid, maka guru berupaya untuk menjadi seorang guru yang berkesan dalam pelaksanaan pendekatan pengajaran (Hasnah Isnon & Jamaludin Badusah, 2017).

Brown, C.P., McMullen, M.B., & File, N. (2019). The Wiley Handbook of Early Childhood Care and Education. John Wiley & Sons.                                       

Byram, M. (1997). Teaching and Assessing Intercultural Communicative Competence. Multilingual Matters.

Faizah Jalal & Ani Omar (2014). Aktiviti Lakonan Murid bagi Pemupukan Nilai Murni dan Perpaduan Kaum: Analisis di Pekan, Pahang. Jurnal Perspektif, 6(2), 26-41.

Hasnah Isnon & Jamaludin Badusah (2017). Kompetensi Guru Bahasa Melayu dalam Menerapkan Kemahiran Berfikir Aras Tinggi dalam Pengajaran dan Pembelajaran. Jurnal Pendidikan Bahasa Melayu, 7(1), 55-66. http://spaj.ukm.my/jpbm/index.php/jpbm/issue/view/43

Mohd Nazri Abdul Rahman, Aishah Abdul Malek, & Muhammad Asyraf Mansor. (2021). Pedagogi Responsif Budaya menerusi Cerita Rakyat untuk Kemahiran Literasi Awal Kanak-Kanak. Jurnal Sains Insani, 6(1), 91-98. http://dx.doi.org/10.33102/sainsinsani.vol6no1.254

Vasanthan Gurusamy, Sharmini Siva Vikaraman, & Marshal Briewin Masilamani (2021). Kepatuhan Etika melalui Aktiviti Lakonan dalam Pengajaran dan Pembelajaran Pendidikan Moral di Sekolah Menengah. Muallim Journal of Scocial Sciences and Humanities, 5(4), 1-9. https://doi.org/10.33306/mjssh/154

Wong, L.S.C. & Nurfaradilla Mohamad Nasri (2021). Hubungan antara Tahap Kebolehan Pengajaran dengan Pengalaman Mengajar Guru Bahasa Melayu dalam Mengaplikasikan Pedagogi Responsif Budaya. Jurnal Dunia Pendidikan, 3(2), 468-483.